KUALA LUMPUR – Siasatan polis menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendedahkan bahawa kematian beberapa ekor kucing di kawasan Universiti Malaya (UM), di sini, baru-baru ini berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing tersebut adalah akibat serangan haiwan liar.
“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian ini pada 17, 20 dan 21 Disember lalu.
“Namun, tiada saksi yang menyaksikan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
“Aduan rasmi berhubung penganiayaan haiwan juga boleh dibuat menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar di pautan awa.dvs.gov.my bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial berkaitan seekor kucing didakwa diperlakukan dengan kejam apabila dibelah perut selain keempat kaki telah dipotong di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.
Susulan itu, hantaran terbabit turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil.- KOSMO! ONLINE.