KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM3.17 juta bagi pelaksanaan program 90 buah rumah ibadat masyarakat India melibatkan 88 buah kuil dan dua gereja yang diuruskan komuniti India di seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan, peruntukan khas tersebut telah diluluskan dan akan disalurkan serta-merta kepada pertubuhan-pertubuhan kuil melalui Kementerian Kewangan.
“Peruntukan ini sebenarnya bukan untuk membaiki kuil atau gereja, tetapi ini lebih kepada program-program untuk bantu penganut di kawasan tersebut, dan juga memberikan mereka peluang.
“Contohnya, kumpulan B40 yang ada di kawasan itu mungkin memerlukan tuisyen atau bantuan kelas agama.
“Ini adalah sumbangan khas Perdana Menteri, dan ia menunjukkan komitmen beliau terhadap komuniti India,” katanya hari ini.
Ramanan menyampaikan bantuan kewangan khas tersebut kepada pengerusi dan wakil pengurusan rumah ibadat masyarakat India bagi mewakili Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Ramanan lagi, peruntukan tersebut sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan semua rakyat termasuk kaum India sentiasa diutamakan.
“Kalau ada program, Perdana Menteri yang datang ke pentas. Tetapi Perdana Menteri kita, Anwar agak berbeza. Beliau tidak kisah tiada di pentas, yang penting kerja beliau berjalan.
“Bagi saya, dia utamakan rakyat dahulu agar semua dapat manfaat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.