BATU PAHAT – Kegembiraan sebuah keluarga yang balik sempena cuti sekolah berakhir tragedi selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan membeli barang-barang keperluan dapur di Kampung Sungai Ayam disini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi melibatkan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun bersama tiga orang anaknya berumur empat, tujuh dan lapan tahun dan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika keluarga empat beranak itu dalam perjalanan daripada arah Senggarang ke arah Minyak Beku.
“Lori dipandu lelaki itu dikatakan keluar secara tiba-tiba daripada simpang jalan tanpa memberi keutamaan laluan terlebih dahulu kepada motosikal yang bergerak di jalan utama sebelum berlaku perlanggaran.
“Akibat kejadian itu, pembonceng motosikal iaitu kanak-kanak perempuan empat tahun telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagia kepala dan badan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar, tiga orang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal serta dua anak perempuannya masing-masing hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.- KOSMO! ONLINE