fbpx

‘Kata-kata netizen adakalanya seperti orang tiada akal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAYANG AREEDA

Mungkin kerana aura wajahnya yang kelihatan garang membuatkan dia berpotensi untuk diberi kepercayaan membawakan watak wanita penggoda yang mengganggu ketenteraman rumah tangga orang lain. 

“Orang fikir saya hanya boleh membawakan watak perampas saja sehingga wujudnya stigma bahawa saya tidak boleh membawakan watak lain. 

“Bukan memilih atau tidak puas hati, tetapi saya mengharapkan agar diberi kepercayaan juga untuk melakonkan watak utama.

“Kalau boleh saya ingin membawa watak yang bermain dengan emosi dan air mata atau naskhah aksi,” kata Dayang Areeda.

Dayang sering disuakan watak angatonis seperti dalam drama Kekasih Paksa Rela, Andai Itu Takdirnya dan 7 Hari Mencintaiku 3 sehingga dicop sebagai wanita ‘pemusnah’. | TATARIAS: @NANA.CHAH

Bagaimanapun baginya, setiap tawaran itu adalah rezeki dan amanah yang perlu digalas sehabis baik. 

“Cuma sebagai pelakon akan ada rasa untuk cuba perkara baharu dan keluar daripada zon selesa. Boleh dikatakan membawa watak perempuan jahat ini sudah seperti makanan dan mudah untuk saya buat,” ujarnya. 

Bukan sahaja kerap diberikan watak sama, tetapi Dayang juga sering disangka sebagai pelakon baharu. Entah di mana silapnya sampai menyukarkannya ingin ‘melepaskan’ tanggapan klise tersebut. 

Dayang mengakui terkilan apabila ada antara mereka yang memegang peranan sebagai pelakon utama sementelah dia sendiri ‘bertarung’ hampir 10 tahun untuk mendapatkan posisi itu. 

“Bohong kalau saya kata tidak berasa apa-apa apabila melihat ada pelakon baharu atau pempengaruh dapat memegang watak utama. Memang sedikit terasa, tetapi saya yakin dengan rezeki Allah. 

“Saya percaya dengan ketentuan-Nya dan yakin bahawa rezeki saya lebih kepada pelakon pembantu atau suatu hari nanti apa yang dihajati akan tiba,” terangnya lembut. 

Kick boxing

Dalam setiap tutur kata yang lembut dan ketawa, Dayang sebenarnya mempunyai kemahiran dalam sukan tinju tendang atau kick boxing. Setelah beberapa tahun sebati dengan sukan itu, Dayang memberitahu, selain kesihatan, aktiviti itu turut dapat membantu sebagai persediaan jika diberikan watak aksi. 

Dayang mengharapkan penglibatan dalam sukan itu secara tidak langsung membuka peluang buatnya terlibat dalam naskhah aksi seperti yang pernah dilakonkan oleh pelakon wanita lain antaranya Elizabeth Tan, Shiqin Kamal, Fift Azmi dan Azira Shafinaz. 

“Tujuan belajar sukan tinju tendang sebab ingin mendapatkan bentuk fizikal yang ideal. Selain menjaga kesihatan, aktiviti itu juga saya jadikan sebagai persediaan untuk berlakon cerita aksi sekiranya diberi kesempatan. 

Inginkan pembaharuan, Dayang mahu mencuba watak lebih mencabar seperti filem atau drama bercorakkan aksi pertarungan. | SOLEKAN: @ELMANDAZULHAIRY

“Saya juga ada melakukan sesi latihan aksi dengan pelakon aksi profesional di studio khas mereka. Disebabkan perasaan ingin tahu bagaimana melakukan babak aksi, saya ambil keputusan untuk mencari inisiatif sendiri,” tutur pelakon drama Segalanya Tentang Dia itu. 

Usahanya itu wajar mendapat pujian dan perhatian pemain seni dan rumah produksi tempatan. Menjadi kelebihan buat Dayang apabila dia sudah membuat asas untuk melakukan babak pertarungan sekiranya diperlukan. 

“Berlakon dalam cerita aksi memang salah satu daripada matlamat utama saya belajar sukan itu, tetapi lama-kelamaan sudah menjadi minat dan saya suka untuk melakukannya. 

“Namun, bukanlah untuk menyertai mana-mana kejohanan kerana kalau untuk serius, saya berasa agak takut. Tetapi, kalau berlakon tiada masalah,” ujarnya seraya ketawa. 

Privasi 

Selesai bercerita tentang kerjaya dan minatnya terhadap sukan tinju tendang, Dayang mengambil masa seketika sebelum meneruskan perbualan. Masakan tidak, perbualan dengan wanita bermata galak itu kemudian tertumpu kepada sisi peribadinya. 

Bagi Dayang, tidak mengira sama ada hatinya sudah dimiliki atau belum, dirinya tetap teguh dengan pendirian untuk tidak berkongsikan hal melibatkan pemilik belahan hatinya kepada khalayak demi mengelak penyakit ain. 

“Bagi saya cukup hanya perkara melibatkan kerja dan percutian saja dikongsikan kepada peminat. 

“Identiti kekasih saya juga tidak akan dikongsikan sehinggalah sah kami berumah tangga. Tidak manis juga kalau saya sibuk mencanang, tetapi akhirnya hubungan itu gagal,” katanya.

Enggan terlalu terbuka bercakap soal peribadi, Dayang berpendapat, artis juga sama seperti manusia lain yang mempunyai hati dan perasaan. | FOTO: SHIDDIEQIIN ZON

Ada juga suara-suara sumbang yang mendakwa tujuan merahsiakan identiti kekasihnya kerana dia sudah berumah tangga secara rahsia. Malah, ada juga yang dakwaan menuduhnya menjadi isteri kedua sehingga menyebabkan Dayang perlu merahsiakan semuanya. 

“Begitulah netizen yang tidak habis-habis membuat spekulasi sendiri tanpa mengetahui cerita sebenar. Bagi saya mulut orang ini kita tidak boleh tutup dan mereka boleh bercakap tentang apa saja. 

“Tetapi mereka lupa bahawa artis ini juga ada mental yang perlu dijaga dan mempunyai ada perasaan. Bagi saya mudah, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Hanya kerana tidak berkongsi kisah peribadi dengan umum, mereka membuat cerita sendiri bagi menarik perhatian artis. 

“Kadangkala saya tidak faham apa yang netizen ini fikir dan mahukan daripada artis. Terlalu mudah artis ini menjadi sasaran untuk dikecam dan dikritik. Kata-kata yang mereka keluarkan itu seperti tidak berakal,” tegasnya. 

Teguh dengan pendirian, Dayang tetap berpegang dengan prinsipnya untuk merahsiakan hubungan peribadi dan kisah cinta daripada pandangan umum. Cukuplah sekadar ahli keluarga dan kenalan terdekat sahaja yang mengetahui hal dalam kain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI