PETALING JAYA – Umat Islam boleh mengucapkan Merry Christmas kepada penganut agama Kristian kerana hukumnya harus dengan tiga syarat.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada hantaran X menjelaskan, syarat tersebut ialah niat untuk muhibah dan tidak berniat mengiktiraf atau membenarkan kepercayaan agama lain.
“Seterusnya, tidak menggunakan simbol atau lambang keagamaan,” katanya pada hantaran tersebut hari ini.
Perkongsian daripada Jakim adalah berdasarkan sumber daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada 25 Disember ini, penganut agama Kristian akan meraikan perayaan Hari Krismas.
Isu berkaitan ucapan Merry Christmas terutama dalam kalangan umat Islam kepada kenalan, rakan atau keluarga mereka yang meraikan Hari Krismas sering dibangkitkan setiap kali tibanya sambutan perayaan tersebut.
Berikutan itu, golongan agamawan termasuk jabatan agama turut mengeluarkan kenyataan atau penjelasan berhubung hukum berkenaan kepada umat Islam. – KOSMO! ONLINE