PETALING JAYA – Tiada perancangan untuk menambah cahaya mata, penyanyi Wany Hasrita mengakui mahu memberi sepenuh perhatian kepada puteri sulungnya, Aishah Al Iman terlebih dahulu.
Pun begitu, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita, 31, tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk hamil lagi.
“Kalau ada rezeki untuk anak kedua, Alhamdulillah. Tapi buat masa sekarang, saya rasa fokus Aishah dulu.
“Boleh tambah tapi biarlah anak saya sekurang-kurangnya berumur dua tahun ke atas,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Bukan mudah menguruskan anak, pelantun lagu Menahan Rindu itu berkata, ibunya, Nurshazwati Mohamed banyak membantu dan memberi panduan dalam membesarkan Aishah dengan sempurna.
“Ibu adalah orang yang menasihati saya. Dia pesan jangan ulang macam mana dia buat dulu, sebab dulu tiada ilmu
“Sekarang terbuka, mana-mana boleh dapat ilmu. Saya duduk berdua dengan dia, apa-apa yang tidak okey, dia akan tegur,” jelasnya.
Paling penting kata Wany, andai dikurniakan cahaya mata kedua, dia dan suami mahu membesarkan anak-anak mereka dengan lebih bersedia.
Wany mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Al-Adib Fahmi, pada 22 Julai 2021.
Pasangan itu dikurniakan puteri sulung mereka pada 29 Ogos 2023. – KOSMO! ONLINE.