LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot seakan mula bermain psikologi apabila berharap Tottenham Hotspur akan memenangi satu trofi musim ini.
Slot juga memuji rakan sejawatnya, Ange Postecoglou yang dianggap membawa Spurs ke tahap berbeza dan kenyataan itu hadir sebelum kedua-dua pasukan buat perhitungan di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi esok.
“Apa yang Ange sedang lakukan adalah sesuatu yang bagus dan saya harap dia mampu memenangi piala. Bukan hanya tentang Piala Liga Inggeris, tetapi saya juga adalah peminat mereka dalam saingan Liga Europa.
“Orang bercakap tentang piala dan semuanya begitu penting. Bagi saya reputasi bola sepak adalah lebih penting dan jika beliau boleh gabungnya dengan kejayaan, sudah pasti ia sesuatu yang bagus.
“Saya fikir adalah satu keistimewaan buat pemegang tiket bermusim dalam kalangan penyokong Tottenham kerana mereka sedang bermain bola sepak dengan cara yang bagus,” kata Slot.
Dalam pada itu, Slot mengesahkan bahawa Liverpool masih kehilangan khidmat Ibrahima Konate dan Conor Bradley yang masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan lutut dan hamstring.
Bagaimanapun, Slot yang digantung ketika aksi menentang Southampton di St. Mary akan kembali ke garisan teknikal pasukan selain Andy Robertson yang turud digantung akan kembali memperkuatkan pasukan. – AGENSI