GUA MUSANG – Sebanyak empat lubang benam termasuk dua yang sudah dikenal pasti dikesan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing di sini setakat hari ini.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, kerja membaiki kerosakan jalan itu masih tidak dapat dilakukan berikutan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat kajian selepas laluan kedua-dua arah ditutup kepada semua kenderaan.
Katanya, pihak JKR sedang mengenal pasti gerakan air bawah tanah dan keselamatan tanah di kawasan sekitar. Perkara itu berkaitan teknikal dan kejuruteraan jadi kita serah kepada pihak yang pakar untuk menyelesaikannya.
“Saya yakin perkara ini akan diatasi dengan segera oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan masyarakat setempat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir oleh Syarikat Damai Kuari Sdn. Bhd., Kuari Dinar Sdn. Bhd. dan Vita Mix Sdn. Bhd. di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Raisnan memberitahu, lubang benam itu dipercayai berlaku ekoran hujan lebat dan lama sehingga menyebabkan berlaku lopak, lubang air dan terbentuknya gua bawah tanah sedia ada.- KOSMO! ONLINE