BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas terpaksa menahan ‘perit’ apabila wang modal RM823,000 melabur dalam pelaburan yang ditawarkan di Facebook ‘hangus’ dikebas sindiket penipuan dalam talian.
Malah mangsa yang berusia 61 tahun turut melopong setelah keuntungan ‘atas angin’ berjumlah RM1,110,190 yang diperolehi hasil daripada pelaburan itu juga gagal diperolehi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa mula terjerat dengan taktik sindiket itu apabila tertarik dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial facebook sejak September lalu yang menawarkan keuntungan lumayan.
Katanya, mangsa mula berhubung dengan ejen sindiket melalui aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut pelaburan tersebut.
“Lepas tertarik dengan janji manis sindiket, mangsa memindahkan wang berjumlah RM823,000 ke dua akaun berbeza antara 8 November hingga 17 Disember lalu.
“Hasil daripada pelaburan itu, mangsa kononnya telah menerima keuntungan sebanyak RM1,110, 190, namun ketika cuba mendapatkan keuntungan itu mangsa diminta sejumlah pembayaran lagi,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, mangsa kemudiannya tidak melakukan sebarang pembayaran kerana telah mula curiga dengan kesahihan pelaburan tersebut.- KOSMO! ONLINE