SUNGAI PETANI – Tindakan seorang lelaki yang berhenti kerja sebagai jurutera untuk menjadi tauke ikan bukan sahaja berjaya dan menguntungkan, malah dapat menutup mulut pengkritik yang dahulunya mempertikaikan keputusan diambilnya pada 2019.
Mohamad Syamil Zulkifli, 29, berkata, dia berbuat demikian selepas perniagaan ikan milik keluarganya di Tikam Batu itu bermasalah dan rugi.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, berkat kerja keras, perniagaan yang diasaskan bapanya, Zulkifli Haron, 53, kembali mencatatkan keuntungan dan mengubah taraf hidup keluarganya sehingga kini.
“Ramai yang pertikai ketika saya mahu berhenti jurutera dan ambil alih perniagaan pada 2019 dan hari ini saya berjaya tangkis kata-kata negatif ahli keluarga, rakan dan kenalan.
“Paling sedih apabila bekas teman wanita saya memutuskan hubungan kerana tidak mahu berkawan dengan penjual ikan yang berbau busuk dan tidak menjanjikan masa depan,” katanya yang telah berkahwin dengan Zulikha Abdullah, 28.
Menurut bekas mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu, antara langkah yang diambil ialah mengemas kini akaun dan mendapati punca utama perniagaan bapanya merosot adalah disebabkan hutang.
Tambahnya, dia menukar strategi iaitu membeli hasil laut daripada nelayan dan pengedar secara tunai berbanding hutang yang diamalkan oleh bapanya.
“Selepas setahun, Kedai Jon Ikan kembali bernafas dan berjaya melangsaikan semua hutang tertunggak. Saya naik taraf kedai termasuk menyediakan ruang jualan runcit dan sayur untuk kemudahan pelanggan,” katanya.
Selepas lima tahun, Mohamad Syamil antara peniaga ikan yang berjaya dan terkenal di daerah ini kerana berjaya membeli tiga buah lori, sebuah bot dan mesin memproses air batu.
“Paling penting kami tidak lagi berhutang. Saya juga membuka peluang kerja kepada empat adik dan 29 pekerja lain,” katanya.
Ujar Mohamad Syamil, selain berniaga pada waktu pagi, dia turut mengambil inisiatif menjual ikan pada harga serendah 20 sen seekor pada sebelah petang untuk membolehkan golongan kurang mampu merasai hasil laut.
“Semua ikan itu kami yang tangkap, jadi boleh jual murah. Kedai ini dahulunya merupakan pendapatan utama bapa menyara kami sekeluarga dan sebab itu saya perlu menyelamatkannya,” katanya.
Menurut Mohamad Syamil, dia berhasrat mahu mempunyai pasar awam sendiri supaya dapat menjual ikan pada harga lebih murah.