PUTRAJAYA- Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan 6 akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2025/2026 dengan kadar sebanyak RM150 bagi setiap pelajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, BAP kepada pelajar Tingkatan 6 yang pertama kali dilaksanakan itu adalah cerminan keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan persekolahan.
“Peluasan BAP kepada pelajar Tingkatan 6 dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar bagi sesi persekolahan 2025/2026 dengan implikasi kewangan sebanyak kira-kira RM15 juta.
“Agihan BAP kepada pelajar Tingkatan 6 sedia ada akan dilaksanakan pada bulan Februari 2025, manakala pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima BAP pada bulan Julai 2025,” katanya hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 SJK (T) Ladang Tumbuk di Kuala Langat, Selangor.
Katanya, inisiatif itu turut membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan 6.
Katanya, ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan 6.
“KPM sentiasa beriltizam untuk meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat melibatkan semua jenis sekolah bawah kelolaannya.
“Ini termasuk dengan meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan Tingkatan 6,” katanya. – KOSMO! ONLINE