SUNGAI PETANI – Pemandu van jenazah yang maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori di Simpang Tiga, Jalan Bakar Sampah, Bedong dekat sini awal pagi tadi sempat berpesan pada rakan baiknya supaya tidak menangis sekiranya dia meninggal dunia.
Rakannya, Muhamad Ridzuan Osman, 36, berkata, Mohd Shafiq Ikmal Abdullah, 27, mengungkapkan kata-kata itu kepadanya ketika dalam perjalanan membeli ubat di sebuah farmasi di Bedong, sebelum terlibat kemalangan.
“Kami selalu berhubung kerana arwah juga merupakan seorang pemandu van jenazah seperti saya dan awal pagi tadi dia hubungi saya maklumkan tidak sihat serta dalam perjalanan ke Bedong dari rumahnya di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok untuk beli ubat.
“Sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 2 pagi saya terkejut menerima perkhabaran kejadian itu. Saya kehilangan seorang rakan baik yang disenangi semua,” katanya yang merupakan Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centre (Madad).
Menurut Muhammad Ridzuan, selain bertugas sebagai pemandu van jenazah dengan Team Amal Warisan, rakan baiknya itu juga terlibat dalam memandi, mengkafan serta mengimamkan solat jenazah selain mempunyai kerja tetap sebagai operator kilang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori Scania R114 dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki semasa membelok ke kanan.
“Rempuhan kuat itu mengakibatkan motosikal itu mengalami kerosakan teruk dan mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya. – KOSMO! ONLINE