PASIR SALAK – Seorang anggota polis dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras tali air ketika mandi manda bersama-sama rakannya di Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah, di sini hari ini.
Difahamkan, anggota berusia 39 tahun itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan balik ke kampung untuk menghadiri majlis perjumpaan semula (reunion).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.47 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Mangsa dikatakan keletihan dan cuba ke tebing namun dihanyutkan arus deras. Operasi pencarian dijalankan dengan menyusuri tebing di sepanjang tali air berkedalaman kira-kira empat meter,” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE