TIRANA – Albania akan menguatkuasakan larangan penggunaan aplikasi perkongsian video popular, TikTok selama setahun menjelang tahun depan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Larangan itu dibuat selepas insiden pembunuhan seorang pelajar pada bulan lalu yang menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.
Perdana Menteri, Edi Rama mengumumkan larangan itu akan berkuatkuasa pada Januari depan.
Rama menyifatkan TikTok sebagai ‘samseng kejiranan’ selepas membuat pertemuan dengan guru, ibu bapa serta ahli psikologi di ibu negara Albania, Tirana.
“Kami akan menyekat TikTok selama setahun. Kami juga akan melancarkan program yang memberi pendidikan kepada pelajar selain membantu ibu bapa mengikuti perjalanan anak-anak mereka,” kata Rama.
Sekatan itu dilaksanakan sebulan selepas seorang pelajar berusia 14 tahun terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam pergaduhan berhampiran sebuah sekolah di selatan Tirana, yang berpunca daripada media sosial.
Pembunuhan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan ibu bapa, ahli psikologi dan institusi pendidikan mengenai kesan rangkaian sosial terhadap golongan muda.
“Di China, TikTok mempromosikan cara pelajar boleh mengikuti kursus, cara melindungi alam semula jadi dan cara mengekalkan tradisi.
“Namun di luar China, kita hanya melihat ‘sampah’ dan ‘lumpur’. Mengapa kita memerlukan ini?” kata Rama.
Sementara itu, TikTok berkata, ia sedang mendapatkan penjelasan segera daripada kerajaan Albania mengenai larangan itu. – AGENSI