PASIR MAS – Sebanyak 55,000 naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir di Kedah, Terengganu dan Kelantan berjaya dikumpul Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat hari ini.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawasan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25,000 naskhah al-Quran dikumpul di Kelantan.
“Kita menjangkakan banyak lagi naskhah al-Quran yang rosak akan diserah ke pusat-pusat pengumpulan yang ditetapkan. Kita menjangkakan lebih 100,000 naskhah akan dikumpul di Kelantan.
“Proses pengumpulan sedang berjalan dan anggaran keseluruhan untuk seluruh negara masih belum diperoleh kerana musim tengkujuh masih belum berakhir,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Exchange (JEQ) di Masjid Taman Maka Utama, di sini hari ini.
Nik Yusaimi memberitahu, pihaknya menetapkan setiap daerah mempunyai satu pusat pengumpulan al-Quran ekoran bah bagi memudahkan orang ramai menghantar naskhah mushaf suci yang rosak akibat bencana.
Katanya, masjid-masjid utama di setiap daerah dikenal pasti sebagai pusat pengumpulan seperti yang dilaksanakan di Kedah.
Di Kelantan. lima pusat pengumpulan disediakan masing-masing dua buah di Pasir Mas dan Bachok, manakala satu di Tumpat. Tiga daerah itu antara yang terjejas teruk dalam kejadian bah di Kelantan baru-baru ini.- KOSMO! ONLINE