BALIK PULAU – Kedua-dua pemuda yang hilang ketika keluar memukat ikan di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang sejak Selasa lalu dijumpai dalam keadaan selamat di perairan Aceh, di Indonesia, hari ini.
Perkara itu disahkan Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi, 22, yang memperoleh maklumat itu daripada pihak polis kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ismail berkata, tiada perkataan dapat diungkapkan selain daripada syukur kepada Allah apabila mendapat berita bahawa anaknya dan seorang lagi rakannya selamat.
“Saya sujud syukur kepada Allah apabila dapat berita mereka selamat, pihak Maritim Malaysia kini dalam perjalanan untuk membawa mereka pulang ke negara ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan mengenai dua pemuda, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25 dilapor hilang dan selepas bot yang dinaiki hanyut dalam kejadian pada pukul 12 malam, Selasa lalu.- KOSMO! ONLINE