PETALING JAYA – Pasangan selebriti terkenal, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel sekali lagi menjadi inspirasi buat masyarakat apabila menunaikan tanggungjawab sebagai usahawan Muslim dengan menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta.
Bayaran zakat perniagaan itu dibayar kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menurut Wawa Zainal, zakat yang dikeluarkan itu diharap dapat membantu golongan yang memerlukan.
“Rezeki yang diperoleh ini bukan hanya milik kita, tetapi ada bahagian untuk mereka yang lebih memerlukan.
“Zakat adalah salah satu cara untuk membersihkan harta dan pada masa yang sama membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya.
Sementara itu, Aeril Zafrel pula menambah, zakat yang dibayar bagi memastikan perniagaan yang diusahakan sentiasa diberkati.
“Sebagai usahawan, kami ingin memastikan perjalanan perniagaan sentiasa diberkati. Dengan menunaikan zakat, itu bukan sahaja menunaikan kewajipan agama tetapi juga memberi kami ketenangan dalam mencari rezeki,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2016, syarikat yang diusahakan pasangan suami isteri iaitu Wawa Cosmetics sudah berkembang pesat dan menjadi antara jenama kosmetik digemari ramai di Malaysia.
Selain menumpukan kepada produk berkualiti tinggi, syarikat mereka juga komited terhadap tanggungjawab sosial, termasuk pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Langkah Wawa Zainal dan Aeril Zafrel ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada usahawan lain untuk sentiasa ingat akan tanggungjawab zakat sebagai salah satu aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim. – KOSMO! ONLINE