KUALA LUMPUR – Insiden rusuhan melibatkan kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan tengah malam tadi mengakibatkan kerosakan pada tren yang berada di platform.
Menerusi video tular di X tengah malam tadi, kumpulan penyokong bola sepak berkenaan bertindak merosakkan pintu dan cermin tingkap tren, selain dilihat membaling tong sampah serta penghadang pintu lif di platform berkenaan.
Prasarana Malaysia Sdn Bhd (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, pasukan polis bantuannya berjaya meleraikan pergaduhan yang berlaku kira-kira 12 tengah malam.
“Insiden ini telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta pada bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.
“Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut dan pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih berbahaya,” ujarnya.
Prasarana berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren.
“Prasarana juga ingin memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi berkaitan insiden ini, dan sedang bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis sedang mengesan satu kumpulan penyokong bola sepak yang melakukan rusuhan di platform LRT Stesen Bandar Tasik Selatan Sungai Besi, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, terdapat satu kumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlakunya pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku.
“Kemudian, dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren,” katanya.
Susulan kejadian itu, bahagian pintu cermin tren mengalami kerosakan dan menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit. – KOSMO! ONLINE.