PETALING JAYA – Keluarga yang kurang bernasib baik, terutamanya daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) sering berdepan cabaran besar untuk memberikan persediaan secukupnya buat anak-anak dalam bidang pendidikan.
Beban kewangan untuk peralatan persekolahan termasuk pakaian seragam, kasut, dan buku memberikan beban berat kepada banyak isi rumah, menyukarkan pelajar untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran di bilik darjah.
Lebih parah, ia akhirnya boleh membawa kepada perasaan tersisih dan rendah harga diri.
Menyedari kepentingan untuk memperjuangkan masa depan anak-anak ini, TNB komited untuk menyokong komuniti melalui tiga inisiatif utama, iaitu Program Sekolah Angkat Pintar; Program Sekolah Amanah; dan Ceria Ke Sekolah.
Memperuntukkan satu peratus daripada keuntungan selepas cukai untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pendidikan sebagai salah satu daripada tonggak utama, syarikat utiliti utama negara itu berusaha membuat perubahan ketara dalam kehidupan pelajar yang kurang bernasib baik.
TNB cuba memastikan golongan ini turut mempunyai akses kepada sumber yang diperlukan untuk cemerlang dalam akademik dan sahsiah, seterusnya merapatkan jurang pendidikan anak-anak kurang bernasib baik di seluruh negara.
Akses pendidikan berkualiti
Antara usaha TNB ialah menerusi penyertaannya dalam program Sekolah Angkat Pintar, iaitu inisiatif oleh Khazanah Nasional sejak 2007 yang memfokuskan kepada peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti untuk pelajar di luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Ia menyediakan sokongan akademik, kem motivasi, latihan sukan, dan pembangunan kepimpinan.
Melalui pengambilan sekolah angkat, TNB telah meningkatkan pengalaman pendidikan di 66 sekolah rendah seluruh Malaysia, memanfaatkan hampir 4,088 murid.
Antara tahun 2017 dan 2019, 10 peratus daripada murid yang terlibat dalam program berkenaan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dengan beberapa sekolah angkat TNB diiktiraf sebagai sekolah berprestasi tinggi atau sekolah kluster.
Sepanjang 18 tahun yang lalu, TNB telah membelanjakan RM7.68 juta untuk menyokong inisiatif tersebut, mengukuhkan lagi komitmen syarikat untuk memupuk bakat muda dan menambah baik landskap pendidikan, terutamanya di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Program Sekolah Amanah merupakan inisiatif kerjasama antara TNB, Kementerian Pendidikan, dan Yayasan AMIR untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan di negara ini.
Melalui program tersebut, tahap pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar cuba dipertingkatkan melalui pendekatan menyeluruh, termasuk pembangunan guru, penambahbaikan dalam pengurusan sekolah, serta peningkatan dalam persekitaran pembelajaran.
Ia juga bertujuan untuk membentuk sekolah sebagai institusi yang inklusif, dinamik dan mesra pelajar, seterusnya mampu melahirkan individu yang berdaya saing.
Program yang dilancarkan pada 2017 itu dilihat sebagai model intervensi pendidikan yang boleh dijadikan contoh kepada sekolah lain di seluruh negara.
Sebagai penyumbang kepada Program Sekolah Amanah sejak tahun 2017 hingga 2021, TNB telah menaja sejumlah RM32 juta, yang melibatkan peruntukan RM6.4 juta setiap tahun.
Sebanyak lapan sekolah di kawasan Klang, Manjung, Jeli, dan Dungun telah mendapat manfaat daripada program berkenaan, yang dilihat membawa kepada peningkatan ketara dalam hasil pendidikan dan penglibatan masyarakat.
Ceria Ke Sekolah
Program Ceria Ke Sekolah pula merupakan pendekatan memberi bantuan secara terus kepada penerima untuk menangani beban kewangan persediaan persekolahan bagi keluarga B40.
Pada asalnya dilancarkan sebagai program Kembali Ke Sekolah, Ceria Ke Sekolah telah berkembang menjadi satu inisiatif penting yang menyediakan bekalan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis kepada puluhan ribu pelajar setiap tahun.
Dari tahun 2013 hingga 2023, TNB telah menyokong 74,615 keluarga di 475 lokasi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak melalui inisiatif tersebut, yang menelan belanja RM12 juta.
Ia telah memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik dilengkapi dengan keperluan pembelajaran untuk memulakan tahun persekolahan mereka dengan yakin.
Untuk tahun 2024, TNB telah memperuntukkan RM700,000 untuk menyokong 4,950 pelajar di seluruh negara, yang mana pelajar dari 44 lokasi di seluruh Semenanjung telah mendapat manfaat.
Tidak hanya menyantuni kawasan luar bandar, jangkauan program tersebut turut merangkumi kawasan bandar, yang menyediakan sumber penting kepada pelajar dan melegakan keluarga mereka daripada tekanan kewangan untuk persediaan permulaan tahun persekolahan baharu.
Pada masa sama, sumbangan TNB kepada pembangunan komuniti melangkaui sekadar bekalan peralatan sekolah. Syarikat juga telah menyediakan cermin mata percuma kepada lebih 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah program Better Brighter Vision.
Melalui program-program seperti ini, TNB terus melabur untuk masa depan Malaysia. Ia mencerminkan kepercayaan syarikat terhadap kuasa pendidikan dalam memecahkan kitaran kemiskinan dan memperkasakan generasi pemimpin akan datang.
Sambil meneruskan usaha ini, TNB terus komited memastikan anak-anak daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah mempunyai alat dan sokongan yang mereka perlukan untuk terus berkembang maju, sama ada di dalam mahupun di luar bilik darjah.