fbpx

Tiada saksi, CCTV berkait kes kematian kucing di UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kucing ditemui tanpa empat kaki di kawasan di kawasan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan menerima dua aduan berasingan berhubung kes kematian kucing di Universiti Malaya (UM), yang kini sedang disiasat secara terperinci.

Menurut kenyataan DVS, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 12 Disember lalu di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, namun aduan rasmi hanya diterima pada 17 Disember lalu.

Katanya, Pasukan Unit Kebajikan Haiwan DVS Kuala Lumpur menjalankan siasatan pada hari yang sama, namun bangkai kucing yang telah ditanam di kawasan fakulti berkenaan sudah terurai dan tidak boleh dilakukan bedah siasat bagi mengesahkan kejadian sebenar.

“Pihak pengurusan universiti juga memaklumkan bahawa tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku serta tiada CCTV (televisyen litar tertutup) pada bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kedua, aduan diterima pada 20 Disember lalu melibatkan kematian empat ekor kucing di beberapa lokasi sekitar kampus UM termasuk Perpustakaan UM, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Pusat Asasi Sains UM berdekatan Pusat Mikrobiologi dan Genetik Molekul dan Ambang Asuhan Jepun.

Jelasnya, pasukan penyiasat telah menjalankan siasatan pada hari sama namun tidak menjumpai sebarang karkas, darah atau apa-apa bukti berkaitan kematian kucing yang dilaporkan.

“Berdasarkan maklumat daripada pengurusan keselamatan UM, bangkai kucing dikatakan telah dihantar ke klinik veterinar oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), namun identiti klinik tersebut tidak diketahui.

“Pasukan penyiasat juga gagal mendapatkan maklumat daripada wakil KMUM pada hari tersebut,” ujarnya.

DVS memandang serius terhadap kejadian ini dan mana-mana pihak disarankan supaya membuat aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes kezaliman haiwan seperti ini kepada pihak berkuasa veterinar di pautan awa.dvs.gov.my.

DVS turut menyeru supaya sebarang aduan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa veterinar agar tindakan dapat diambil selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI