KLUANG – Kakitangan awam yang bekerja di negeri ini teruja selepas terpilih untuk memiliki Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dibangunkan di Kluang.
Seorang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kluang, Mohamad Shahdan Zaini, 30, berkata, walaupun berasal dari Sarawak namun teruja selepas berjaya terpilih untuk memiliki rumah sendiri selepas mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.
Katanya, dia sebelum ini terpaksa menyewa sebuah taman perumahan di bandar ini sebelum mendapat kunci rumah di Taman Puterimas.
“Kedudukan rumah yang hanya kira-kira lapan kilometer dengan tempat kerja memudahkan lagi pergerakkan ke Balai Bomba dan Penyelamat, Kluang.
“Secara hakikatnya, penyediaan RMMJ oleh kerajaan Negeri Johor melalui syarikat perumahan yang membangunkan kawasan penempatan di negeri ini amat tepat dan memberi peluang kepada kakitangan awam untuk memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pembantu Makmal di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) Kluang, Siti Adawiyah Husin, 22, berkata, program RMMJ inj telah membolehkannya memiliki rumah pada usia muda.
Ujarnya, dia dan suaminya yang memiliki lot antarabangsa hanya perlu membayar RM265,000 dan dijangka selesai dibayar sebelum menamatkan perkhidmatan.
Kedua-dua penjawat awam tersebut antara lapan penerima kunci dalam Majlis Penyerahan Kunci Taman Puterimas 2 di sini.
Sementara itu, Pengurusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, secara keseluruhannya sebanyak 44 buah RMMJ dibina di Taman Puterimas 2. – KOSMO! ONLINE