SELEPAS tujuh tahun bergelar pelakon, kredibiliti Alicia Amin diperakui penonton apabila berjaya membawa watak Intan dalam drama fenomena, Andai Tiada Dia dengan cukup berkesan.
Meskipun Alicia atau nama sebenarnya, Raja Alicia Raja Amin, 29, hanya menggantikan watak Intan yang pada asalnya diperan aktres Mimi Lana, namun lakonannya memberi impak bukan sahaja kepada penonton bahkan dirinya sendiri.
“Sebenarnya saya sendiri terkejut apabila mendapat tawaran watak Intan untuk menggantikan Mimi Lana. Walaupun agak ragu-ragu pada mulanya, tetapi selepas diyakinkan oleh Mimi sendiri yang saya mampu buat, barulah saya rasa berani.
“Memang kerja gila sebab mahu gantikan Mimi Lana! Siapa saya jika hendak dibandingkan dengan Mimi. Mujur saya pernah bekerja dalam dua buah drama dengan Mimi iaitu Perempuan Itu dan Persepsi.
“Jadi, keserasian antara kami sudah ada cuma untuk saya menjadi Intan seperti mana Mimi lakonkan memang tidak boleh. Setiap pelakon memiliki cara lakonan yang tersendiri. Saya yakin, Mimi dan saya telah menjadikan Intan ‘sejahat’ mungkin mengikut versi kami sendiri,” tutur Alicia.
Ditebak tentang perbandingan yang dibuat oleh penonton, Alicia menerimanya dengan hati yang terbuka.
Sebagai penonton drama, Alicia sendiri memahami kekecewaan penonton andai pelakon kegemaran mereka ditukar semasa siaran drama masih lagi berjalan.
Dalam drama Andai Tiada Dia, Mimi Lana hanya sempat membawakan watak Intan sehingga episod 28 sahaja, manakala Alicia menyambung bermula episod 29 sehingga ke 36.
“Saya sudah bersedia dengan reaksi penonton, ada yang menyokong dan ramai yang mahupun Mimi semula. Saya secara peribadi sebagai penonton juga mahukan Mimi kerana dia membawa watak Intan dengan cukup baik.
“Jadi, saya tidak kisah apabila ada penonton yang melahirkan rasa tidak puas hati dan ada yang marah-marah. Itu normal kerana saya sendiri akan berasa marah jika pelakon kesukaan diganti dengan orang lain,” kongsi Alicia.
Biarpun ramai yang ‘berbunyi’ sepanjang drama tersebut bersiaran, pemilihan Alicia untuk memegang watak antagonis sebenarnya direstui Mimi sendiri.
Restu
Selain wajah yang agak mirip, pandangan mata serta karakter mereka juga seakan-akan sama.
“Mimi pernah kongsi yang ramai orang pernah tersilap menyangka dia Alicia Amin dan saya sendiri ada yang sangka Mimi Lana. Kejadian begitu banyak kali berlaku sehingga ke hari ini.
“Mungkin itu antara sebab saya diberikan watak Intan kerana bukan mudah untuk menyambung lakonan satu karakter yang telah memberi impak kepada penonton,” kongsi Alicia lagi.
Tidak menyembunyikan kenyataan, Alicia mengakui dia cukup tertekan kerana bimbang akan merosakkan karakter Intan yang cukup sempurna ditangan Mimi.
“Saya sendiri tertanya-tanya boleh atau tidak? Tetapi Mimi sendiri ada hubungi saya semasa di set penggambaran dan memberi nasihat, ditambah pelakon lain seperti Hisyam Hamid, Zahiril Adzim dan Ummi Nazeera tidak henti-henti jadi ‘guru’ sepanjang bekerja.
“Melihat semua pelakon hebat di set penggambaran, saya rasa begitu kerdil tetapi saya belajar banyak dengan mereka.
“Rasa diterima oleh rakan pelakon dan juga penonton membuatkan saya cukup bahagia dan yakin lakonan adalah bidang seni yang ingin saya lakukan dalam masa panjang,” kata Alicia.
Kerjaya
Berbicara tentang karier lakonannya, Alicia mengakui watak Intan memberi impak yang cukup besar. Selain, semakin dikenali ramai terutama peminat drama, banyak produksi sudah mula yakin dengan bakatnya.
Mengimbas perjalanan seninya yang bermula sebagai seorang model daripada program Asia’s Next Top Model musim kelima pada 2017, Alicia sama sekali tidak menyangka dia akan bertahan selama dan sejauh ini.
“Saya tidak tahu bagaimana perjalanan karier lakonan pada masa depan diharap impak Intan ini akan memberi rezeki yang lebih luas untuk saya.
“Cuma saya memang tidak meletakkan sebarang harapan yang besar dalam karier lakonan sebab saya bermula sebagai model.
“Saya masih ingat waktu mula-mula berlakon, keras seperti kayu (ketawa).
“Apa yang saya ada hari ini adalah atas usaha keras yang tidak pernah berhenti untuk belajar. Alicia Amin yang dahulu berbeza dengan saya yang sekarang,” tuturnya.
Sebagai pelakon, Alicia juga terbuka untuk menerima sebarang tawaran lakonan andai watak kecil.
Bahkan graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti RMIT, Melbourne, Australia itu tidak menolak andai ditawarkan berlakon dalam filem indie yang berbajet kecil.
“Saya tidak memilih hanya filem atau drama berbajet besar sahaja, sebaliknya filem pendek atau indie juga saya terima sekiranya karya benar-benar menarik,” katanya.
Bukan itu sahaja, demi memberi yang terbaik dalam lakonan, Alicia sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk mengikuti kelas lakonan sekiranya perlu untuk sesebuah watak.
“Dalam mana-mana pekerjaan, kita harus menambah kemahiran untuk menjadi yang terbaik. Sekiranya saya perlu mempelajari kemahiran tertentu bagi tuntutan watak saya sanggup mengeluarkan duit sendiri sekiranya tidak disediakan pihak produksi.
“Kadangkala kita tidak perlu labur duit, tetapi masa, tenaga dan bagaimana hubungan sesama orang sekeliling akan membentuk seorang pelakon yang bagus,” ujarnya menutup bicara.