PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia menyasarkan untuk memberi keutamaan kepada Grid Tenaga ASEAN (APG) dan digitalisasi sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun depan sebagai antara usaha dalam meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.
Katanya, perbincangan mengenai perkara tersebut telah dilaksanakan bersama pemimpin utama beberapa negara.
“Saya telah berbincang dengan pemimpin Vietnam, Filipina, Singapura, Thailand dan Brunei, dan saya memberitahu keutamaan kita terutamanya adalah APG,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Anwar, APG turut melibatkan penyaluran tenaga alternatif dari Laos dan Thailand yang mendapat kesukaran pada peringkat permulaan.
Bagaimanapun, katanya, kos tersebut akan berlipat kali ganda sekiranya tidak digunakan.
Terdahulu, rundingan bagi Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura, melibatkan bekalan sehingga 100 megawatt elektrik dari Laos melalui Thailand dan Malaysia dilaporkan menemui jalan buntu.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata APG bukan sekadar mengenai penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut tetapi akan turut menjadikan rantau ini sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE