KUALA LUMPUR – Persatuan Haiwan Malaysia dan Persatuan Rakan Kucing Malaysia menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap kes penemuan bangkai kucing dalam keadaan menyayat hati di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini.
Penaung Persatuan Rakan Kucing Malaysia, Datuk Azman Abidin berkata, pihaknya mengecam keras tindakan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap haiwan tersebut.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, semua haiwan sama ada haiwan peliharaan mahupun bukan peliharaan perlu diberi perlindungan sewajarnya di negara ini.
“Kami berharap pihak berkuasa atau pihak universiti membuat siasatan terperinci untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Kita juga khuatir insiden ini menunjukkan ada anggota masyarakat kita mengalami masalah seperti psikopat yang bukan sahaja tidak sayang pada haiwan, malah sekiranya tiada tindakan serius boleh berlaku ke atas manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Persatuan Haiwan Malaysia dengan Kerjasama Persatuan Rakan Kucing Malaysia di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr. Arie Dwi Andika berkata, sekiranya didapati ada elemen jenayah yang melibatkan perlakuan manusia, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dalam Seksyen 30 boleh diguna pakai.
“Perkara itu kerana sesiapa sahaja tidak boleh membunuh dengan apa cara sekalipun kecuali atas nasihat dan juga tindakan Jabatan Veterinar bagi tujuan pengawalan penyakit berjangkit dan sebagainya.
“Sebenarnya apa yang kita mahukan bukan satu kenyataan tergesa-gesa dari pihak berkuasa sebaliknya adalah satu siasatan sebelum kenyataan itu dikeluarkan,” katanya.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar harus bekerjasama dengan pihak universiti, bagi tujuan membersihkan nama universiti, mendapatkan keadilan untuk haiwan dan meredakan kemarahan masyarakat.
“Saya juga menyeru apabila berlaku satu-satu kes haiwan, kita meminta mana-mana pihak untuk menyimpan bukti supaya tidak tercemar dan pihak berkuasa juga boleh lakukan analisis klinikal sama ada kematian itu boleh ditentusahkan secara klinikal oleh pakar sama ada mati sebabkan haiwan liar atau tidak.
“Kami minta sistem keadilan jenayah haiwandijalankan dengan baik sesuai sebagaimana sistem keadilan jenayah manusia yang lain kerana kalau kita sebut ‘sekadar haiwan’, itu salah. Kerana suka atau tidak suka, hakikatnya haiwan di negara kita terlindung di bawah satu Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. – KOSMO! ONLINE