KOTA BHARU – Pasukan Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW) bersedia menggantikan The Red Warriors (TRW) yang telah hilang daripada radar Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro musim hadapan.
Presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, bagi merealisasikan impian itu KRW yang mendapat sokongan penuh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memerlukan dana sehingga RM2 juta dalam mengharungi saingan tersebut termasuk membawa masuk pemain berstatus bintang.
“KRW kini dalam proses membuat permohonan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyertai Liga A1 Semi-Pro dan menjadi satu lagi pasukan yang mewakili Kelantan dalam saingan itu Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC).
“KRW baru berusia tujuh hari dan kita tumpu kepada pelancaran kelab terlebih dahulu. Pada Januari atau Februari tahun depan, baru kita akan bergerak sepenuhnya untuk persediaan bersaing di Liga A1 Semi-Pro,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Usahasama dan Pelancaran KRW di sini hari ini.
Nik Hafiz Naim berkata, bagi membangkitkan lagi semangat, KRW akan menggunakan logo semasa Kelantan merangkul tiga piala satu masa dahulu. – KOSMO! ONLINE