IPOH – Cita-cita membuat revolusi Islam didakwa merupakan antara dapatan sesi kaunseling terhadap kanak-kanak yang diselamatkan daripada pihak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH).
Difahamkan perkara itu diperolehi sewaktu mereka diuji membuat karangan bertajuk apakah cita-cita kamu semasa sesi kaunseling dan pemulihan dilaksanakan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini melihat ia satu cabaran kepada agensi agama yang berkaitan untuk mengenalpasti punca dan kaedah susulan yang perlu dilakukan bagi membina kefahaman dalam masyarakat.
Beliau menyarankan sesi penerangan dan penjelasan mengenai GISBH perlu dilakukan oleh pihak berwajib kepada semua agar menjadi pengajaran dan tidak berulang.
“Saya menganggap mereka (pengikut ajaran) sebagai mangsa. Mereka bukannya penjenayah. Mereka menjadi mangsa kerana mereka tiada satu latar belakang yang kukuh tentang Islam.
“Pada saya, ini sebagai satu tamparan dan cabaran kepada agensi Islam sendiri mengapa begitu mudah orang boleh menembusi minda rakyat yang tiada daya tahan yang kuat.
“Sedangkan kita sudah ada pendidikan Islam bermula dari tahun Satu di sekolah, tetapi masih ada orang yang boleh terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang daripada Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran yang dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam. – KOSMO! ONLINE