PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa terkejut apabila melihat keadaan makanan yang dijual di kantin sekolah anaknya.
Menurut perkongsian wanita itu di laman X, dia seperti tidak percaya apabila mendapati hidangan mi goreng yang begitu sedikit dijual pada harga RM3.
“Menu kat kantin sekolah anak saya RM3 macam ni. Mula-mula tak rasa apa sebab anak saya memang bawa bekal hari-hari.
“Tapi tefikir pula anak orang lain, kesian pulak. Pendapat saya, tak setimpal dengan harga. Warung biasa saya sarapan pun RM3 meriah juga,” katanya.
Tinjauan di ruang komen rata-rata mengecam tindakan pengusaha kantin yang disifatkan tidak jujur dalam berniaga.
“Ingatkan kantin sekolah saya saja yang bermasalah, rupanya ada lagi yang sama masalah begini. Kadang-kadang cikgu dah letih gaduh dengan orang kantin ni, tapi dia besar kepala sebab ada “cable” yang jaga,” kongsi Ira.
“Tak setuju dengan harga tapi mungkin dia letak sikit sebab budak sekolah makan sikit kot? Tapi sepatutnya kalau letak sikit, harga pun kena kuranglah,” kata Ainun.
“mak aku jual mi goreng kuetiau goreng RM1.50 saja, itu pun belambak . Tapi, bukan di sekolah, ini satu suap nak kedip mata pun tak sempat,” kata Hary. – KOSMO! ONLINE