fbpx

[VIDEO] Ibu mimpi Muhammad Ikmal ada di pondok tepi laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu bapa kepada dua pemuda yang hilang di laut berharap anak mereka dijumpai dengan selamat.

BALIK PULAU – Naluri ibu kepada Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, pemuda yang hilang di laut ketika keluar memukat ikan bersama seorang rakannya di perairan Keracut di sini sejak Selasa lalu merasakan yang anaknya itu masih hidup.

Hanita Ismail, 47, berkata, firasatnya kuat mengatakan yang anak keempat daripada lima beradik itu kini berada di satu kawasan yang selamat.

“Semalam saya bermimpi yang Muhammad Ikmal serta rakannya itu berada di dalam pondok di satu kawasan di tepi laut.

“Memang kita tidak boleh percayakan mimpi, tetapi firasat dan naluri saya sebagai ibu kuat merasa anak saya masih hidup.

“Hati saya merasakan dia masih ada, cuma lokasinya kita tidak tahu, apa pun kami harap mereka dijumpai dengan selamat,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kuala Sungai Pinang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dua pemuda, Muhammad Ikmal yang juga berstatus Orang kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25 dilapor hilang selepas bot yang dinaiki hanyut dalam kejadian berlaku selepas pukul 12 malam, Selasa lalu.

Menurut Hanita, anak lelakinya itu yang sebelum ini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baharu sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti di laut pada awal bulan ini.

“Saya memang tidak benarkan dia turun ke laut kerana kita memang tahu laut ada bahayanya, tetapi dia turun juga.

“Dia ada menghubungi saya menerusi WhatsApp pada Isnin lalu, kira-kira pukul 7.58 malam Isnin lalu, dia beritahu saya mereka dibadai ribut.

“Saya ada tanya dia kenapa tidak balik lagi, malah saya pun cuba telefon dia pada Selasa lalu namun tiada jawapan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, berkata, dia ingin melihat anaknya pulang ke pangkuan mereka dengan selamat namun dia bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Saya reda, tetapi saya mahu lihat dia di depan mata saya, saya harap dia pulang dengan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI