KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Harmoni Prihatin) komited dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Palestin sejak perang tercetus dan sehingga kini jumlah sumbangan mencecah hampir RM1 juta.
Pengasasnya, Nor Hashim Abdullah berkata, ia melibatkan sumbangan kewangan sebanyak RM15,000 sehari menerusi program ‘Harmony Kitchen Gaza’.
Menurutnya, iai bagi penyediaan makanan kepada 4,000 rakyat di enam kem pelarian di Nuseirat, Khan Younis, Mawasi, Bandar Gaza dan Utara Gaza.
Beliau berkata, Harmoni Prihatin juga pernah membuka dapur di Rafah namun terpaksa ditutup kerana kawasan tersebut dibom hingga rata.
“Bantuan yang diberikan bukanlah makanan semata-mata namun turut meliputi pelbagai sumbangan lain termasuk bantuan keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu bayi, ubat-ubatan, baju sejuk, barangan keperluan wanita, barangan dapur, wang tunai, bekalan air bersih dan sebagainya mengikut keperluan semasa.
“Kami sentiasa berdepan risiko kenaikan harga barang yang sangat tinggi dan melampau setiap hari namun sumbangan tetap perlu diteruskan agar menjadi sumber kekuatan dan harapan buat mereka yang terpaksa berdepan situasi getir dan perit setiap hari.
“Sumbangan rakyat di negara ini merupakan lambang solidariti dan ihsan umat Islam susulan penindasan dan kekejaman yang berterusan ,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Harmoni Prihatin ditubuhkan secara rasmi pada 10 Julai 2024 lalu di mana sebelum ini menyalurkan sumbangan melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan lain sejak perang di Gaza tercetus.
Tujuan utama pertubuhan ini adalah untuk memberi bantuan kemanusiaan di samping membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama membuat amal kebajikan dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di dalam mahu pun luar negara.
Mengulas lanjut, Nor Hashim memberitahu, Harmoni Prihatin bertuah kerana memiliki wakil sukarelawan di Gaza untuk memantau dan mengendalikan aktiviti sumbangan di sana.
Jelas beliau, ia melibatkan pembelian barangan, memasak dan agihan makanan masakan yang dirakam secara harian dan dimuatnaik di media sosial sebagai bukti ketelusan kepada masyarakat yang menyumbang.
“Pada masa sama, laporan kewangan sumbangan turut direkodkan setiap hari bagi memastikan semua jumlah transaksi dikemaskini sebagai makluman kepada para penyumbang.
“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan kepada Harmoni Prihatin dalam sama-sama membantu rakyat Palestin yang memerlukan di sana,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa mengalu-alukan dan membuka jalinan kerjasama daripada mana-mana pihak atau badan korporat untuk menaja sumbangan makanan secara harian untuk program Dapur Gaza di sana.
“Bagi mereka yang ingin membayar zakat untuk mereka yang memerlukan di Gaza, Harmoni Prihatin juga menyediakan saluran untuk mengagihkan wang zakat anda di sana”, tambahnya. -KOSMO! ONLINE