LANGKAWI – Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. yang mengendalikan perkhidmatan feri di pulau peranginan ini bersedia mengadakan perjalanan feri pada waktu malam mengikut permintaan penumpang.
Pengurus Besarnya, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut untuk beroperasi pada waktu malam.
“Sempena Tahun Melawat Kedah 2025 nanti, kami telah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Laut bagi beroperasi sehingga waktu malam atau tanpa had masa sekiranya diperlukan.
“Walau bagaimanapun, bagi perjalanan malam, pelayaran feri hanya akan dibuat sekiranya paras air berada pada sekurang-kurangnya 1.5 meter (m) bagi memastikan keselamatan perjalanan,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurutnya, perjalanan pada waktu siang ketika ini mempunyai risiko kerana paras air lebih rendah dan alur pelayaran menjadi lebih cetek dan kerja pengerukan dijangka hanya akan disiapkan pada Februari tahun hadapan.
Jelasnya, sekiranya paras air tidak mencapai tahap minimum sebanyak 1.2 meter bagi perjalanan siang pada musim cuti persekolahan ini, pihaknya akan mengadakan perjalanan pada waktu malam bagi menampung keperluan penumpang.
“Kita akan membuat penambahan semaksimum mungkin kerana tidak mempunyai halangan daripada Jabatan Laut. Kami juga mempunyai feri yang mencukupi untuk membuat feri tambahan sekiranya ada permintaan,” katanya.
Tambahnya, kapasiti terminal feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah juga perlu diambil kira kerana hanya mampu menampung sehingga 500 penumpang pada satu masa sedangkan ada dua feri boleh berlabuh yang membawa penumpang berjumlah kira-kira 1,000 orang. – KOSMO! ONLINE