fbpx

EFL: Amorim akui buat keputusan tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNITED terpaksa akur perjalanan mereka dalam saingan EFL terkandas di suku akhir selepas tumbang berdepan Spurs awal pagi semalam. - AFP

LONDON – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengakui tidak menyesal dengan keputusan menggugurkan Marcus Rashford biarpun pasukannya tersingkir di suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selepas tewas 3-4 berdepan Tottenham Hotspur awal pagi semalam.

Rashford tidak berada dalam senarai skuad The Red Devils untuk dua perlawanan berturut-turut selepas mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester City sebelum ini, namun Amorim percaya ketiadaan pemain itu bukanlah punca kekalahan pasukannya.

“Saya dapat rasa bahawa saya melakukan sesuatu yang betul untuk pasukan ini, ia bukan kesilapan. Kami perlu membuat pemilihan dan saya fikir keputusan itu tidak silap kerana saya sentiasa melakukan perkara yang betul untuk pasukan berdasarkan apa yang saya lihat.

“Kami akan menjalani latihan esok (hari ini), dia akan turun menyertai pasukan untuk persiapan aksi seterusnya. Dia masih lagi pemain United dan semua orang masih mempunyai masa depan di Manchester United,” katanya.

Tanpa kehadiran Rashford, United ketinggalan 0-3 sebelum bangkit meledak dua gol, namun gol keempat Spurs seakan meranapkan impian United biarpun mereka berjaya menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, Amorim mengakui tidak begitu gembira dengan aksi dipamerkan pasukannya untuk lapan minit awal babak kedua ketika Spurs berjaya meledak dua gol dalam tempoh berkenaan.

“Kami menguasai perlawanan saya fikir. Kami bukanlah pasukan yang lebih baik sepanjang perlawanan, tetapi dalam beberapa momen kami berjaya memberikan aksi terbaik. Kami hilang fokus dalam tempoh lapan minit tersebut dan ia memberikan kami kesukaran.

“Namun, pemain berjaya menutup kelemahan dan kembali beraksi seperti dirancang untuk meraih dua gol. Kami mempunyai masa untuk memenangi perlawanan, tetapi gol keempat itu sangat mengecewakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain bintang United, Alejandro Garnacho yang turut tersisih bersama Rashford pada aksi menentang City sebelum ini dimasukkan pada babak kedua perlawanan kali ini.

Bagaimanapun, dia gagal membuktikan keputusan Amorim menggugurkannya sebelum ini ada silap apabila hanya menyentuh bola sebanyak 11 kali dan tiga kali hilang penguasaan bola pada aksi berkenaan.

Amorim mengharapkan sesuatu yang istimewa dengan kemasukan Garnacho untuk memburu gol penyamaan selepas bangkit meledak dua gol, namun dia tidak mampu malah semua gerakan untuk melepasi kawalan pemain Spurs gagal dilakukan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN