BERLIN – Sekurang-kurangnya dua orang maut apabila sebuah kereta merempuh orang awam di sebuah pasar Krismas kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) di Magdeburg, Jerman semalam, lapor portal berita metro.co.uk.
Menurut akhbar Jerman, Bild, sekurang-kurangnya 80 orang cedera dalam kejadian itu.
Timbalan Datuk Bandar Magdeburg, Regina-Dolores Stieler-Hinz mengesahkan sekurang-kurangnya dua orang maut iaitu seorang mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak, manakala 15 mangsa lain kritikal.
Suspek yang ditahan digambarkan sebagai seorang doktor Arab Saudi berusia 50 tahun yang pertama kali datang ke Jerman pada 2006.
Gabenor Saxony-Anhalt, Reiner Haseloff memberitahu sidang akhbar: “Seperti yang berlaku, dia (doktor Arab Saudi) adalah pelaku tunggal, jadi setakat yang kami tahu, tidak ada lagi bahaya kepada bandar itu.
Jurucakap kerajaan tempatan, Matthias Schuppe dan jurucakap bandar Magdeburg, Michael Reif berkata, mereka mengesyaki kejadian itu imerupakan serangan pengganas.
Reif berkata, ramai mangsa cedera tetapi tidak memberikan angka yang tepat.
“Gambar-gambar di lokasi kejadian mengerikan. Maklumat yang saya dapat ialah sebuah kereta merempuh pasar Krismas tetapi saya masih belum pasti dari arah mana (ia datang).”
Pihak Hospital Universiti Magdeburg memberitahu, mereka sedang merawat antara 10 hingga 20 pesakit tetapi bersedia untuk menerima ramai lagi mangsa.
Satu rakaman video dari tempat kejadian memaparkan ramai mangsa terbaring bergelimpangan di pasar tersebut. – AGENSI