PETALING JAYA – Didakwa berubah sikap selain mengakibatkan arwah suami terdahulu menanggung dosanya, penyanyi Ina Naim menangkis tuduhan netizen tersebut.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, berkata, hubungan dengan Allahyarham Suhaimi Saad sudah putus sebaik dia mengahwini Mohd. Khairul Rizal Mohd. Shukor, sekali gus sebarang perbuatannya tidak akan memberi kesan terhadap arwah.
“Ada saya baca komen cakap kasihan arwah Suhaimi Saad, sedih arwah. Sebelah arwah tu masih kosong, kalau nak tempah bolehlah.
“Sini saya nak cakap, saya dengan arwah Suhaimi Saad dah putus hubungan. Apa yang saya buat, dia tak tanggung dosa saya melainkan anak-anak bila buat dosa contohnya tak solat, arwah bapa dia yang kena tanggung dekat sana.
“Tapi saya sangat berkeras dengan mereka supaya jaga amalan terutama solat sebab bila anak-anak tinggalkan solat, ibu bapa meskipun sudah meninggal akan terasa seksanya,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Menurut ibu kepada empat anak itu, selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua, tugas dan tanggungjawabnya kini hanyalah kepada Khairul Rizal.
“Saya dah tak ada apa-apa hubungan dengan suami lama, dah terputus. Tapi saya harap, insya-Allah mudah-mudahan doa saya untuk arwah sampai,” ujarnya.
Dalam perkongsian tersebut, Ina turut menangkis tuduhan segelintir individu yang mendakwa dirinya berubah selepas pemergian Suhaimi apabila dilihat semakin lantang bersuara.
Menurutnya, dia mengambil alih peranan sebagai penyampai ketika sesi ‘live’ promosikan produk jualan sehingga membuatkan orang nampak dirinya lebih dominan serta banyak bercakap.
“Saya masih seperti dulu, mungkin orang tak kenal saya sebelum ni. Dulu arwah ketua keluarga dan dia lebih faham TikTok.
“Apabila dia sampaikan sesuatu ilmu, dia lebih tahu jadi saya duduk belakang. Bila Allah ambil dia dan ganti dengan pasangan baharu, Khairul tak tahu tentang TikTok.
“Sebab itu dia ke belakang sikit dan dia banyak ‘handle’ benda lain. Banyak bantu saya termasuk jadual, rundingan dan sebagainya,” ujarnya.
Terdahulu, Ina berkahwin dengan Mohd. Khairul pada 8 November lalu iaitu selepas hampir setahun pemergian Suhaimi.
Perkahwinan dengan Allahyarham Suhaimi pula adalah pada 12 Ogos 2007, namun penyanyi nasyid itu meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – KOSMO! ONLINE