JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran diberkas dalam Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigregen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Khamis lalu.
Dalam operasi pada pukul 2.30 petang itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 37 dan 46 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Larkin Indah di sini yang dijadikan sebagai rumah transit sindiket penyeludupan terbabit.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd Darus berkata, mereka bertugas sebagai penjaga rumah transit dan pemudah cara kepada mangsa-mangsa penyeludupan yang dibawa masuk ke Malaysia.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan operasi dan tangkapan sebelum ini terhadap seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
“Siasatan awal yang dijalankan seterusnya membawa kepada serbuan ke atas sebuah pangsapuri yang dijadikan rumah transit warganegara Bangladesh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, beberapa pasport warganegara Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM14,500 dirampas serta sebuah kenderaan turut disita.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati aktiviti penyeludupan itu dipercayai telah dijalankan sejak 2 bulan lalu dengan mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 seorang bermula yang dibawa melalui Singapura.
Tambah beliau, kedua-dua suspek yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150).-KOSMO! ONLINE