fbpx

Bapa yakin anak masih hidup selagi jasad tidak ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Ikmal (kiri) dan Nor Hasrul dilaporkan hilang di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang, sejak Selasa lalu.

BALIK PULAU – Bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi, 22, yang hilang bersama seorang rakannya selepas bot yang mereka naiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang di sini, sejak Selasa lalu berharap anaknya ditemui semula walau dalam keadaan apa sekalipun.

Ismail Ibrahim, 51, berkata, dia dan keluarganya juga reda dengan apa sahaja ketentuan Allah meskipun kehilangan mangsa sudah memasuki hari kelima, hari ini.

“Harap dia (Muhammad Ikmal) dan seorang lagi rakannya dijumpai, dalam apa-apa keadaan pun.

”Kami kena reda, kalau kita tak mahu reda pun tak boleh buat apa.Tuhan dah tentu keadaan dia macam itu, kami harap dapat dan dalam keadaan elok la mereka,” katanya ketika di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kehilangan dua pemuda, Muhammad Ikmal yang juga berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran bersama rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25 dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 12 malam, Selasa lalu.

Menurut Ismail, dia sekeluarga juga telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa hari ini adalah hari terakhir operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Malam semalam pihak Maritim Malaysia Pulau Pinang maklumkan mereka telah pergi ke lokasi yang nelayan beritahu bahawa mereka nampak bot yang dinaiki anak saya.

“Namun bila pihak Maritim Malaysia mencari di situ, tiada apa-apa petunjuk ditemui,” katanya.

Tambahnya, pihak keluarga dan kawasan masjid di sekitar Balik Pulau juga telah mengadakan solat hajat bagi memudahkan pencarian anak lelaki serta rakannya itu.

Dalam pada itu, bapa tiri kepada Nor Hasrul, Mohamad Fitri Badiuzzaman, 38, berkata, dia yakin anaknya masih hidup selagi jasadnya belum ditemui.

”Sekurang-kurangnya biar jumpa jasad atau pun bot yang mereka naiki, jadi kita tahu apa yang sudah berlaku, daripada sekarang ini, langsung tak ada petunjuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI