KUALA LUMPUR – Bank Rakyat melancarkan My First Credit Card-i, kad kredit patuh Syariah untuk generasi muda yang baharu melangkah ke alam pekerjaan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kad berkenaan menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk pelan ansuran kosong peratus.
Menurutnya, dengan pembelian serendah RM500 pengguna ditawarkan pilihan ansuran enam, 12 serta 24 bulan.
“Selain itu, Enhance Rakyat Reward Point membolehkan pemegang kad mendapat lima kali mata ganjaran untuk setiap perbelanjaan RM10 dalam talian dan satu kali mata ganjaran untuk pembelian di kedai fizikal.
“Produk ini direka untuk memenuhi keperluan kewangan golongan muda sambil menyokong agenda kerajaan menuju masyarakat tanpa tunai,” katanya pada Muslimah Fest 2024 di sini hari ini.
Ahmad Shahril memberitahu, pihaknya menyasarkan sebanyak 2,500 pemegang kad My First Credit Card-i sepanjang tiga program Muslimah Fest 2024 sehingga esok.
Sementara itu, Ahmad Shahril memberitahu, penganjuran Muslimah Fest 2024 ini mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam menyokong usahawan tempatan dan memajukan industri fesyen Muslimah.
“Program ini menyediakan platform kepada semua usahawan tempatan yang terlibat dalam industri fesyen Muslimah di negara kita. Hari ini, kita dapat lihat lebih 70 usahawan tempatan seperti Rockqueen by Ella, Alhumaira dan banyak lagi yang bersama-sama Bank Rakyat sepanjang festival ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bank Rakyat menggalakkan orang ramai menyertai pencarian jutawan melalui Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, yang menawarkan peluang bergelar jutawan pada Januari 2025.
Pelanggan hanya perlu mengekalkan baki purata RM5,000 dalam akaun mereka sehingga 31 Disember 2024.
“Sempena bulan Ramadan dan Syawal 2025 yang bakal tiba tidak lama lagi, Bank Rakyat juga telah merancang pelbagai kempen menarik dengan tawaran hadiah yang istimewa untuk semua pelanggan setia kami,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE