PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menafikan pembabitannya dalam kes mahkamah melibatkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau sebaliknya menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah secara terburu-buru sehingga berlaku banyak ‘kecacatan’.
“(Saya melihat kes tersebut) dendam politik daripada pihak yang berkuasa ketika itu. Sebagai Perdana Menteri, saya mesti berhati-hati dengan apa yang diperkatakan.
“Biarkan mahkamah tentukan. Saya ada pandangan sendiri, tetapi tidak boleh campur tangan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan Rosmah itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi. – KOSMO! ONLINE