PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan dua tokoh penting iaitu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pada minggu depan.
Menurut Anwar, perjumpaan dengan Prabowo dijadualkan pada 23 Disember di Langkawi bagi membincangkan beberapa perkara berkait perhubungan dua hala dan mesyuarat ASEAN.
“Pertemuan dengan Thaksin yang juga penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan pula akan berlangsung pada 26 Disember ini.
“Saya akan berjumpa dengannya dan berbincang tentang peranannya secara teliti kerana beliau mempunyai kekuatan daripada segi hubungan baiknya dengan beberapa pemimpin ASEAN dan pengalamannya yang luas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Prabowo akan mengadakan kunjungan ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri selepas lawatan rasmi beliau ke Kaherah, Mesir. – KOSMO! ONLINE