KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kedah melibatkan daerah Kulim dan Bandar Baharu.
“Amaran sama juga dikeluarkan di seluruh Pulau Pinang serta beberapa daerah di Perak iaitu di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar” kata MetMalaysia hari ini.
Dalam pada itu, amaran tersebut juga dikeluarkan di Kelantan melibatkan daerah Gua Musang.
“Cuaca buruk juga dijangka berlaku di Pahang iaitu di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
“Selain itu, amaran itu juga dikeluarkan bagi Selangor (Hulu Langat), seluruh Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (Jelebu, Jempol dan Tampin),” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE