KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan beterusan kategori buruk dan berwaspada di beberapa kawasan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran tersebut dikeluarkan susulan hujan lebat berterusan yang dijangka melanda beberapa daerah di negeri-negeri tersebut hingga esok.
“Bagi Seksyen A, amaran hujan berterusan (buruk), hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak melibatkan daerah Mukah (Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Selain itu, cuaca sama dijangka berlaku di Sabah melibatkan kawasan di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort serta seluruh Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu bagi Seksyen B, amaran hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di negeri Sarawak melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat) dan Kapit (Song dan Kapit).
“Bagi negeri Sabah pula hujan berterusan diramalkan melanda Pedalaman (Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Ahad,” katanya. – KOSMO! ONLINE