fbpx

Polis tumpaskan sindiket senjata laras tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senjata laras yang dirampas dalam serbuan pertama di Kota Bharu, Kelantan. IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Seramai tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan kerana menjual laras senjata tiruan melalui platform dalam talian menerusi dua serbuan berasingan dijalankan di Kota Bharu, Kelantan dan Jalan Raja Laut, di sini, pada 17 dan 18 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kejayaan dalam Op Taring Bravo 3 (senjata tiruan), Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring DOS (ubat-ubatan) adalah hasil risikan oleh Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA.

Katanya, pasukannya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sebanyak 32 laras senjata tiruan serta dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit sah ketika serbuan di premis di Kota Bharu, Kelantan pada 17 Disember lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 34 tahun itu telah menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform ‘live TikTok’ dalam talian sejak beberapa bulan yang lalu.

“Pemeriksaan lanjut di premis tersebut menemukan dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit yang sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) selain merampas beberapa kotak yang mengandungi ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Peraturan-Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” jelasnya.

Ekoran tangkapan itu, pihaknya kemudian menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing yang disyaki pembekal senjata berkenaan dalam operasi kedua di ibu negara pada 18 Disember lalu, kerana memiliki 637 laras senjata tiruan.

“Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi ini dianggarkan berjumlah RM 436,971 dan kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960,” ujarnya.

Menurut Timbalan Pengarah JKDNKA (WCB/PSK), Senior Asisten Komisioner Azlin Haji Sadari, suspek kedua dan ketiga berperanan sebagai pembekal senjata yang diperoleh dari luar negara.

“Suspek pertama (di Kelantan) melakukan jualan secara dalam talian sahaja manakala suspek kedua dan ketiga (Kuala Lumpur) bertindak sebagai pembekal dan jual secara fizikal di kedai mereka.

“Berdasarkan siasatan kami, senjata tiruan ini dijual dengan harga serendah RM150 hingga RM500, bergantung kepada jenis senjata itu sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga supaya mereka mempunyai tanggungjawab sosial agar kejadian tidak diingini dan membahayakan orang awam dapat dielakkan.

“Senjata ini mampu menghasil tembakan dan jenis peluru yang digunakan adalah ‘gel blaster’ yang perlu direndamkan dalam air supaya kembang dan besar. Senjata ini membahayakan dan boleh mendatangkan kecederaan.

“Peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dan tidak menjual senjata ini semata-mata ‘demand’ sahaja. Penyalahgunaan senjata ini boleh melarat dan membahayakan walaupun nampak seperti alat mainan sahaja,” katanya lagi.

Sehubungan itu, PDRM memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.

Orang awam digalakkan memberi maklumat kepada PDRM untuk membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI