SEREMBAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mencatatkan pencapaian serta sumbangan paling manis bukan hanya buat pasukan, bahkan buat negara apabila sembilan anggota mereka bergelar atlet kriket negara.
Ini sekaligus menjadikan pasukan beruniform berkenaan sebagai “lubuk” bagi mengasah bakat sukan rakyat Malaysia khususnya dalam sukan kriket.
Menurut Pengerusi Kriket TUDM, Brigedier Jeneral Norazman Ismail, buat masa ini terdapat 45 pemain kriket dalam pasukan tersebut di mana 34 daripadanya merupakan anggota lelaki, manakala selebihnya perempuan.
“Daripada jumlah tersebut, empat anggota lelaki serta lima anggota wanita berjaya bergelar atlet Malaysia serta mengharumkan nama negara dalam sukan di peringkat antarabangsa.
“Malah, kita kini berhasrat untuk menyertai lebih banyak lagi kejohanan bagi memberi pendedahan dan meningkatkan fighting spirit pemain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan TUDM di Pangkalan Udara Sendayan, di sini, semalam.
Pada majlis berkenaan, selain pasukan kriket, Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan turut meraikan atlet TUDM dalam sukan Sepak Takraw yang memenangi sukan di peringkat antarabangsa, selain atlet ping pong dan ragbi.
Dalam pada itu, Norazman turut berkongsikan kejayaan terbaharu pasukan kriket melalui atlet Koperal (Kpl) Udara Muhamad Syahadat Ramli dan Koperal Udara Muhammad Wafiq Irfan Zarbani yang membantu pasukan kriket negara memperoleh pingat emas dalam Kejohanan ICC Mens T20i World Cup Asia Qualifier A. – KOSMO! ONLINE