fbpx

Tarif elektrik kekal sehingga Jun 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju kadar rebat dan surcaj tarif elektrik berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna di Semenanjung dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, dengan keputusan yang diambil pada 13 Disember lalu itu, kerajaan akan membiayai subsidi sebanyak RM2.388 bilion bagi tempoh tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan terbaik mengurangkan komitmen subsidi kerajaan agar peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain.

“Kerajaan turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Pengawalselian Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

“Sehubungan perkara ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, jadual tarif baharu dicadang dilaksanakan bermula 1 Julai 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion yang akan dibiayai oleh kerajaan.

Tambahnya, kerajaan juga kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna yang berdaftar dalam Sistem e-Kasih dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

“Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh Kerajaan di dalam bil elektrik bulanan masing-masing,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI