fbpx

Simbolik getar emosi 20 tahun 6ixth Sense

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN 6ixth Senses menjanjikan sebuah persembahan yang tidak mengecewakan menjelang konsert mereka tahun depan.

DUA puluh tahun adalah satu tempoh yang tidak sekadar perhitungan waktu, tetapi mencerminkan perjuangan, pengorbanan dan cinta yang tidak pernah padam terhadap seni.

6ixth Sense, kumpulan yang lahir dari mimpi dan darah seni, kini berdiri megah sebagai simbol keutuhan dalam industri muzik.
Semua rasa tersebut akan terungkap pada 9 Februari 2025 menerusi konsert bersejarah, 6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years, yang akan menggema di Zepp Kuala Lumpur (KL).

Dianggotai Adi Priyo Sambodo selaku vokalis, Mohd Faiz Azizi (keyboard), Zairul Azreen Shah (gitaris), Shahrul Effendy (gitaris), Safuan Hasnan (dram) dan Mohd Fairos (bes), 6ixth Sense menjanjikan persembahan istimewa yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Menjanjikan bukan sekadar malam persembahan sebaliknya sebuah perayaan jiwa, 6ixth Sense akan membawa peminat menelusuri detik-detik kegemilangan, melalui melodi indah lagu seperti Hari Ini Dan Semalam, Tanpa dan Khatimah Cinta.

Setiap nota bukan hanya bunyi, tetapi gema sebuah cerita yang ditulis dengan air mata dan ketabahan.

KUMPULAN 6ixth Sense bakal menggegarkan Zepp KL menerusi konsert Hori20ntal: Celebrating 20 Years sebagai simbolik perjalanan penuh liku mereka pada 9 Februari 2025.

“Konsert ini ibarat perjalanan hati kami, untuk dihayati dan dikenang,” luah vokalis, Adi Priyo Sambodo, penuh emosi.

Namun, di sebalik sorotan pentas, tersimpan cerita penuh ranjau. Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, 6ixth Sense telah melalui badai yang hampir merobohkan segalanya.

Pada suatu ketika, mereka hampir terkubur akibat perselisihan dan keletihan, tetapi sosok pengurus mereka, Allahyarham Mujahid Abd Wahab, menjadi lilin yang menerangi kegelapan.

“Perpecahan mungkin tidak, tetapi pengunduran pernah berlaku kerana percanggahan pendapat dalam nak siapkan album sempena sambutan ke-17 tahun 6ixth Sense.

“Arwah Mujahid adalah penjaga nyawa 6ixth Sense. Ketika kami di ambang perpecahan, beliaulah yang menjernihkan keadaan, membawa kami kembali ke jalan yang sama.

Selain pengurus yang banyak membantu menjernihkan keadaan, kesatuan dan kesabaran juga menjadi rahsia keutuhan kumpulan tersebut.

Tolak ansur juga menjadi formula kejayaan kumpulan ini untuk kekal relevan dalam industri muzik tempatan.
Pemain keyboard, Faiz Aziz atau Gjie turut mengimbas perjalanan panjang mereka mencari vokalis yang tepat, satu penantian penuh kesabaran sebelum akhirnya bertemu Adi pada 2005.

“Kami belajar bahawa seni memerlukan masa dan kesabaran.

“Jangan terlampau ghairah mengejar populariti, kerana muzik adalah tentang keikhlasan, bukan kecepatan.

“Setiap orang ada ego masing-masing, tapi kena letak nombor dua. Bukan sahaja sesama anggota, perasaan ego juga perlu diketepikan dengan semua orang termasuk pengurusan dan media.

“Satu lagi, kesabaran. Kami menunggu hampir lima tahun untuk dapatkan vokalis sesuai. Antara 2000 hingga 2004, vokalis kami bersilih ganti sehinggalah kami bertemu Adi Priyo pada 2005.

“Sebab itu saya cakap band baharu kena sabar. Janganlah baru seminggu masuk studio rakam lagu terus nak popular,” katanya.

Paling penting kata Gjie, malam konsert bakal menjadi lebih daripada sekadar persembahan, momen itu nanti adalah ‘magnum opus’ (karya agung) sebuah perjalanan mereka.

Gabungan visual canggih, pencahayaan dinamik dan paparan definisi tinggi akan memukau penonton, membentuk pengalaman pancaindera yang mendalam.

Setiap lagu, setiap sorotan cahaya, bagaikan lembaran kisah yang menghidupkan kembali memori dan harapan. Dua dekad bukan sekadar masa yang berlalu tetapi sebuah perjalanan seni dan legasi yang terpahat sampai bila-bila.

6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years bakal menjadi pentas untuk mengenang, menghidupkan dan menyulam harapan baru kisah sebuah kumpulan yang kekal, meskipun dihempas gelombang waktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI