SUNGAI PETANI – Seorang pemuda maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 10 buah motosikal di Kilometer (KM) 79.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pelajar berusia 20 tahun dari Kubang Rotan, Alor Setar dekat sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Sementara itu, sembilan lagi penunggang motosikal yang cedera berusia antara 16 hingga 20 tahun kini dirawat di Hospital Pendang dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa semua motosikal bergerak dari arah Gurun menghala Alor Setar.
Katanya, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian terdapat sekumpulan lima motosikal sedang bergerak terus di kedudukan hadapan menghala ke Alor Setar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa (maut) yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah belakang telah masuk di tengah antara kumpulan lima motosikal tersebut sebelum bergesel dengan yang lain lalu terjatuh.
“Akibat pergeselan tersebut, mangsa terjatuh di lorong kiri sebelum datang empat motosikal lagi dari arah belakang yang tidak sempat mengelak lalu berlanggar antara satu sama lain sebelum masing-masing terjatuh di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE