SEPANG – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga warga Maghribi, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mencabul penumpang wanita dalam pesawat dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Kuala Lumpur.
Remaja itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan jatuh hukum selepas mendapat laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 19 Februari tahun depan.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita warga Malaysia berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, dalam sebuah pesawat dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur pukul 12 tengah malam pada 18 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun, denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ain Madihah Zulkifli mencadangkan tertuduh juvana itu diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam, Ahmad Zahidi Afiq Mohd. Zaid yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah.
“Dia berasal dari Maghribi, datang ke negara ini untuk melancong dan melawat bapa saudaranya sebagai pelayan restoran di Bukit Bintang,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Bukhori membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan dua penjamin tempatan.
“Tertuduh pesalah muda perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan,” katanya.
Mengikut fakta kes, semasa dalam penerbangan, tangan kanan tertuduh, terlanggar paha kiri wanita yang duduk bersebelahannya.
Pada mulanya, mangsa tidak mencurigai perbuatan tersebut, namun mangsa mula menjarakkan diri selepas tertuduh bertindak mengusap paha hingga punggungnya.
Biarpun selepas menjarakkan diri, tertuduh mula meletakkan kepalanya di lengan mangsa dan berpura-pura tidur.
Mangsa kemudiannya menolak perbuatan melampau tertuduh dan memanggil pramugari yang bertugas seterusnya membuat laporan polis selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini. – KOSMO! ONLINE