KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memulakan perang psikologi dengan menyatakan Singapura ada kelebihan menjelang pertemuan terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Menurut Pau Marti, skuad The Lion hanya memerlukan satu mata untuk lolos ke pusingan separuh akhir sedangkan pasukan negara terdesak mencari mencari tiga mata bagi memintas kedudukan pasukan lawan nanti.
Bagaimanapun, Pau Marti mengingatkan agar pemain kekal beraksi tanpa sebarang tekanan bagi meneruskan tradisi pasukan lolos ke pusingan separuh akhir buat kali keempat berturut-turut.
“Saya jangka ini perlawanan yang sengit dan saya pasti sukar untuk kita mendapatkan kemenangan apatah lagi dengan jurang mata yang besar.
“Kita tahu pasukan Singapura agak keletihan (selepas perlawanan menentang Thailand), tetapi kelebihan masih memihak kepada mereka ketika ini apabila hanya perlukan keputusan seri.
“Jadi kita perlu mengambil risiko dan memberikan segalanya kerana kita wajib menang ke atas Singapura.
“Kami menantikan perlawanan dan harap kehadiran ribuan penyokong dapat membantu kita dalam misi ke separuh akhir Piala Asean 2024,” kata Vicente pada sidang media pra perlawanan di SNBJ, semalam.
Pandangan sama turut disuarakan oleh kapten skuad negara, Dominic Tan yang menyeru agar semua pemain mencurahkan sepenuh jiwa dan bersikap profesional di atas padang sepanjang perlawanan nanti.
“Ini adalah perlawanan penentuan yang cukup getir buat pemain tetapi kita ada kelebihan bermain di laman sendiri
“Saya harap barisan pemain dapat berikan aksi yang profesional dan berusaha untuk mencari kemenangan,” kata tonggak pertahanan Sabah FC itu.