fbpx

Penyakit bawaan bah melioidosis boleh bawa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sewaktu musim banjir orang ramai juga perlu berwaspada pelbagai jangkitan penyakit.- Gambar hiasan

FENOMENA Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku sejak November lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2025 akan membawa kemungkinan episod hujan lebat sepanjang tempoh ini.

Hujan lebat ini juga berkemungkinan menyebabkan beberapa kawasan berhadapan bencana banjir.

Banjir sering kali dikaitkan dengan pelbagai penyakit bawaan air seperti leptospirosis, jangkitan kulit dan penyakit saluran pencernaan.

Namun, satu ancaman tersembunyi yang kurang diketahui tetapi berbahaya ialah melioidosis, penyakit yang berkait rapat dengan fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan banjir.

Penyakit ini, walaupun kurang popular dalam kalangan masyarakat, berpotensi menyebabkan komplikasi serius dan bahkan kematian jika tidak dikesan dan dianggap endemik di Asia Tenggara khususnya di Thailand, Malaysia dan Australia Utara.

Di Malaysia, penyakit banyak dilaporkan di kawasan berisiko banjir iaitu di Kelantan dan Pahang dan juga di kawasan jelapang padi iaitu di Kedah.

Anggaran global menunjukkan bahawa melioidosis menyebabkan lebih daripada 165,000 kes dan 89,000 kematian setiap tahun.

Melioidosis disebabkan oleh bakteria Burkholderia pseudomallei yang hidup subur di dalam tanah dan air tawar.

Fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat yang berpanjangan bukan sahaja menyebabkan banjir tetapi juga menggalakkan pertumbuhan populasi bakteria.

Ketika banjir berlaku, bakteria ini boleh keluar ke permukaan tanah dan dibawa oleh aliran air.

MELIOIDOSIS disebabkan bakteria Burkholderia pseudomallei.

Air banjir yang tercemar meningkatkan risiko pendedahan bakteria kepada manusia melalui pernafasan, kulit yang luka atau tertelan.

Gejala melioidosis adalah tidak spesifik dan bergantung kepada organ yang terlibat, menjadikannya sukar untuk dikenal pasti pada peringkat awal.

Gejala biasa termasuk demam panas, batuk, sakit kepala, sakit otot dan jangkitan kulit (bernanah).

Dalam kes yang lebih serius, bakteria ini boleh merebak ke organ penting seperti paru-paru, hati, buah pinggang dan otak, menyebabkan komplikasi seperti pneumonia, sepsis, abses dan kegagalan organ pelbagai yang boleh membawa maut.

Gejala sering muncul dalam beberapa hari hingga beberapa minggu selepas terdedah kepada bakteria, tetapi ada juga kes di mana bakteria kekal dorman atau tidak aktif dalam tubuh selama bertahun-tahun sebelum menyebabkan jangkitan.

Golongan yang paling berisiko dijangkiti melioidosis termasuk individu yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit kencing manis, penyakit kronik, penyakit buah pinggang, atau mereka yang menjalani rawatan imunosupresif.

Selain itu, pekerja yang sering terdedah kepada tanah atau air banjir seperti petani dan pekerja pembersihan juga berisiko tinggi

Kajian menunjukkan bahawa banjir besar pada Disember 2014 berkait rapat dengan peningkatan kes melioidosis.

Ketika itu, 20 kes melioidosis telah dilaporkan di kawasan terjejas, diikuti oleh 21 kes lagi dalam dua bulan pertama tahun 2015 di Pahang.

Data juga menunjukkan majoriti individu yang dijangkiti melioidosis di dimasukkan ke hospital pada bulan November hingga Februari, tempoh yang sinonim dengan musim banjir.

Untuk mencegah jangkitan melioidosis, langkah berjaga-jaga perlu diambil semasa banjir dan selepasnya.

Penduduk yang terjejas perlu memakai peralatan perlindungan seperti sarung tangan, kasut getah dan pakaian berlengan panjang semasa membersihkan kawasan banjir.

Kulit yang luka mesti ditutup dengan pembalut kalis air, manakala air untuk minuman atau memasak perlu dirawat terlebih dahulu. Jika kulit terkena air kotor atau tanah, segeralah membersih tangan dengan sempurna.

Penduduk juga dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka dengan teliti, terutamanya jika mengalami simptom seperti demam berpanjangan, batuk atau jangkitan kulit.

Melioidosis adalah ancaman yang sering diabaikan tetapi sangat relevan terutamanya ketika musim banjir.

Kesedaran tentang penyakit ini perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat, terutama mereka yang tinggal di kawasan banjir untuk memastikan langkah pencegahan dapat diambil bagi melindungi kesihatan dan keselamatan komuniti.

Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed adalah Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI