GUA MUSANG – Pemandu treler yang disyaki merempuh empat kenderaan sehingga mengorbankan seorang penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut di Terengganu di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini kelmarin didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu yang berusia 28 tahun itu mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, pemandu treler itu direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini.
“Suspek sempat melarikan diri selepas kemalangan, namun datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini untuk menyerah diri kira-kira pukul 6 petang.
“Siasatan mendapati, lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan sudah bekerja sebagai pemandu treler selama lapan tahun,” katanya.
Choon Foo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Media sebelum ini melaporkan, seorang penuntut wanita IPG Kampus Sultan Mizan, Besut di Terengganu maut dalam nahas lima kenderaan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu membabitkan sebuah treler jenis Volvo dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 selain dua buah kereta jenis Perodua Axia dan Proton Saga.
Mangsa yang maut ialah penumpang belakang SUV, Nurul Alya Fatnin Mohd. Mawardzi, 22, yang sedang berkonvoi dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampusnya di Besut. – KOSMO! ONLINE