KUALA LUMPUR – Pemain ‘ke-12’ bersedia untuk membakar semangat skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan getir Kumpulan A saingan Piala Asean 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Meskipun dilangsungkan pada hari bekerja, ia tidak menghalang lebih 20,000 peminat untuk hadir menyaksikan perlawanan ini secara langsung.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengesahkan lebih 21,000 tiket bagi aksi derbi Seberang Tambak itu terjual bagai ‘pisang goreng panas’ setakat ini.
“21, 157 tiket telah terjual empat jam lagi menjelang aksi terakhir Kumpulan A, Piala AFF 2024, Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, 9 malam ini,” kata FAM.
Sebagai rekod, jumlah tersebut dianggarkan tiga kali ganda berbanding kehadiran pada aksi menentang Timor Leste di venue sama, 11 Disember lepas.
Skuad Harimau Malaya kini dalam misi memburu tiga mata penuh dan tidak ada pilihan kecuali menang ke atas skuad Sang Singa ketika sekiranya mahu melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Asean edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE